Syiah Rafidah |
Sempena Aidiladha ini pasti ramai
yang ingin menziarahi kubur, (walaupun menetapkan Hari Raya sebagai hari
menziarah kubur ini bukanlah ajaran Rasullullah saw) maka eloklah diperingatkan
tentang perbuatan-perbuatan haram dan amalan sunnah ketika menziarah kubur.
Jauhkan perbuatan haram dikhuatiri syirik seperti penyembah kubur. Di sini saya tidak lampirkan dalil sepertimana
sepatutnya, ia lebih kepada catatan saya ketika mendengar ceramah tidak lama
dahulu. Sila kaji sendiri sumbernya insyallah banyak dalil-dalil shahih anda
akan temui.
1. Pemujaan
dan memuliakan roh orang mati dengan keterlaluan adalah haram.
2. Menyeru
orang mati boleh menjadi syirik,
walaupun orang mati itu alim ulama atau Nabi Muhammad saw. Cara menyeru adalah
seperti berkata, “Ya Abdul Qadir Jailani,” (alim ulama), “Ya Rasullullah”.
Kerana seruan adalah doa, dan doa adalah ibadah dan ibadah hanya untuk Allah.
Jika kita menyeru kepada orang mati adalah seperti beribadah kepada selain
Allah dan boleh jatuh kepada amalan syirik.
3. Memohon
doa kepada orang mati juga boleh membawa kepada syirik. Atau meminta kepada
orang mati. Ada umat Islam yang pergi ke makam Rasullullah dan berdoa KEPADA Rasullullah
supaya kurniakan zuriat dan lain-lain doa. Amalan ini adalah syirik. Ada yang
ke kubur wali songo dan kepada kubur/orang
mati. Doa hanya kepada Allah tidak perlu ada perantaraan. Amalan yang dibolehkan ialah meminta orang
alim/ustaz tolong doakan kita, tetapi
orang itu mestilah hidup dan bukan sudah meninggal dunia.
Perbuatan seru
jin atau malaikat atau perkara ghaib juga syirik. Contohnya bila hendak masuk
hutan atau masuk kawasan yang menakutkan janganla berkata. “Datuk nenek anak
cucu minta lalu,” atau memohon kepada Nabi Sulaiman seperti amalan yang
diajarkan oleh orang tua dulu-dulu. Itu adalah perbuatan menyeru lam ghaib atau
penunggu dan penunggu itu semua adalah jin. Serulah nama Allah, baca ayat Kursi
dan 3Qul.
4. Solat
di kubur adalah dilarang. Solat mengadap kubur juga dilarang. (mengadap tanpa
pembatas)Solat di dalam masjid yang mengadap kubur juga adalah dilarang,
kecuali masjid itu dan kubur diasingkan/dibataskan dengan longkang/pagar/tembok.
5. Dilaknat
dan diharamkan mendirikan masjid di kawasan kubur. Semakin menjadi ikutan umat
Islam apabila pembesar mati, masjid dibina di kubur itu seperti yang berlaku di
masjid di Melaka. Ini perbuatan haram dan dilaknat.
6. Kenapa
tidak boleh solat di kubur? Kerana ada rukuk dan sujud, kita hanya boleh rukuk
dan sujud kepada Allah, bukan kepada kubur atau orang mati. Sembahyang mayat
boleh dibuat dikubur kerana sembahyang mayat tidak ada rukuk dan sujud.
7. Jangan
membuat binaan di atas kubur. Ini termasuk tembok, pagar, bumbung dan
sebagaunya. Perbuatan menghiasi kubur juga diharamkan oleh Imam Syafie dan
banyak nas dan dalil dari Imam lain. Sudah ada beberapa tempat menjadi amalan
meletak mainan kanak-kanak untuk kubur bayi, ada yang membalut nisan dengan
kain kuning, ada yang meletakkan payung, malah kipas. Amalan ini tidak diajarkan
oleh Nabi saw.
8. Orang
mati apabila mati rohnya diangkat ke alam barzakh/langit. Dikubur hanya
jasad/tubuh. Tidak perlu berlama-lama di kubur, atau berbual-bual dengan si
mati. Kubur tempat mengingati mati sahaja. Arwah ibu kita tak terkilan kalau kita tak
melawat kuburnya, yang dia dambakan doa anak-anak, maka berdoalah setiap hati
di mana sahaja.
9. Tidak
perlu Quran di kubur, atau membaca yassin di kubur. Pahala bacaan hanya dapat
kepada pembaca. Orang mati tidak terima pahala, orang mati hanya terima 3 jenis
pahala iaitu dari amalan yang soleh, sedekah amal jariah dan doa anak yang
soleh. Amalan membaca Quran dan yassin kepada orang mati tidak pernah dilakukan
oleh Rasullullah saw, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat. Jika ia amalan
itu baik dan dilakukan Rasullullah maka para sahabat akan berlumba-lumba untuk
melakukannya.
10. Penjelasan
kenapa kubur Rasullullah saw di dalam masjid sedangkan Nabi saw melaknat dibina
masjid di dalam kawasan kubur.
a. Selepas Rasullullah saw wafat, baginda di
kuburkan di biliknya, kerana semua Nabi dikuburkan di mana ia wafat.
b. Kemudian ada seorang fasiq (fasiq ialah orang yang
gemar melakukan dosa) bernama Al-Walid menggunakan kuasanya untuk membesarkan masjid
c. Dalam pembinaan membesarkan masjid maka rumah
Rasullullah termasuk dalam ke dalam masjid
d. Ketika itu para sahabat Nabi saw sudah ramai
yang meninggal dunia kalau adapun sudah sangat tua, para ulama yang menegur
perbuatan itu dipancung. Maka ulama dinasihatkan supaya tidak menegur Al-Walid.
e. Maka kubur Rasullullah saw sehingga hari ini
masih di dalam masjid kerana kerja-kerja ubahsuai akan menelan banyak belanja
dan masjid itu dikunjungi setiap hari maka kerja-kerja ubahsuai semakin
mustahil
f. Maka walaupun kubur Rasullullah saw di dalam
masjid ia tidak boleh dijadikan dalil untuk melakukan amalan itu kerana banyak
sekali amaran Rasullullah malahan ketika baginda hidup tidak pernah
dilakukannya. Sila rujuk fatwa imam Abdul Aziz bin Baz
11. Nabi
saw menuntut untuk memberi salam kepada ahli kubur, ziarah sekitar kubur,
mengingati mati dan mendokan ahli kubur, tidak lebih dari itu.
12. Wanita
boleh menziarahi kubur tetapi tidak boleh selalu. Nabi melaknat wanita yang
menjadikan ziarah kubur sebagai rutin (sering berkunjung ke kubur)
13. Tidak
boleh menetapkan rutin untuk menziarah
kubur, iaitu contohnya ke kubur setiap kali Hari Raya, setiap kali hari Jumaat.
14. Apabila
di kubur bukalah kasut atau selipar. (Jika hujan becak mungkin dibenarkan?)
Rasulullah
s.a.w. pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan
memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya: “Wahai pemilik kasut
al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.”
Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan
melemparnya.” (Hadis
riwayat Imam Abu Dawud).
15. Dibolehkan
menitis air mata kerana sedih tetapi diharamkan meraung-raung seperti dalam
drama tv.
16. Dilarang
memijak kubur atau duduk di atas kubur. Perbuatan ini selalu terjadi ketika
pengebumian. Orang-ramai sesuka hati duduk dan memijak kubur.
“Sungguh, jika
seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga
mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
No comments:
Post a Comment