Thursday, October 04, 2007

Bawang putih bawang merah.

Bawang Merah menangis di penjuru bilik. Sejak dua hari lepas dia begitu. Ibu datang dengan wajah yang membenci.
’Hoi! Tak payah susah-susah nak bersedih! Emak engkau bukan boleh hidup lagi kalau kau menangis air mata darah sekalipun!’
Aku bergegas lari sekuat hati menuju ke anak sunagai belakang rumah. Di situ suara kesat ibu hilang. Di situ aku cari ketenangan.
Aku pasti terlelap agak lama kerana apabila aku terbangun matahari sudah di atas. Aku terdengar suara Merah menghampiri. Merah bernyayi girang. Merah membimbit bungkusan baju. Merah ternampak aku dan nyayian kecil merah terhenti. Muka mencemik.
’Lepas ni kita mandi sungai, mahukah?’ aku cuba bersuara. Aliran sungai bunyinya sangat kuat. Merah diam. Aku jadi marah.
’Lepas kau basuh baju tu kita mandi sungai!’ aku menjerit.Merah mendengus. Memandang aku dengan mata yang tajam,
’tak ingin aku mandi dengan kau lah gajah putih!’ Merah bangun ingin mencapai baju. Belum sempat dia bangun aku meluru ke arah Merah dan menarik rambut Merah! Merah melawan dan berlaku tolak-menolak. Merah menjerit dan jatuh ke dalam sungai. Aku mengambil bungkusan baju dan membaling ke sungai. Baju bersepah dibawa air. Merah basah kuyup, jalan terhenjut-henjut, aku lihat lututnya berdarah. Sampai di gigi air kami duduk, kepenatan menarik nafas. Merah mengeluh lututnya yang berdarah. Kemudian membebel pakaian yang dibawa air.
’Apa mau aku jawap sama emak engkau?’ Kami sama-sama terdiam lama. Keletihan. Aku dengan dada yang masih berdegup kuat, Merah barangkali sibuk memikirkan baju dan ibu.
--------------------------------------------------
Pada suatu hati ibu ingin bertandang.
’Kampung sebelah sudah dihuni. Sudah ada penduduk. Ibu mahu melawat. Putih pergi carikan Merah. Ibu nak minta dia bantu ibu memasak, kita akan membawa bekal,’satu persatu ibu bercakap.
Aku melompat-lompat anak berlari ke sungai. Aku sangat suka bertandang ke kampung sebelah. Bila bertandang aku dapat berjumpa orang.
Merah tiada di sungai. Aku menyeberang anak sungai. Aku yakin Merah pasti ada di pondok hutan. Setelah beberapa langkah aku terdengar suara Merah menyanyi, sungguh merdu. Aku berlari-lari mencari Merah. Semakin dekat aku dengan Merah semakin keliru aku. Di sebelah pondok hutan ada sebatang pohon yang besar! Aku tidak pernah melihat pohon besar itu. Rendang dan... oh! Aku lihat Merah sedang bermain buaian di pohon rendang! Aku semakin teruja dan ketawa kecil. Merah melihat aku menghampiri dan hentikan buaian. Aku menarik-narik tali buaian, sambil itu mataku melirik ke buaian.Aku tidak pernah melihat buaian secantik itu. Bagaimana buaian itu boleh ada di situ?
Buaian itu seolah-olah dibuat daripada akar kayu dan melilit terus ke dahan pokok yang besar. Ada bunya-bunga kecil di celah-celah akar kayu.
’Siapa yang buatkan buaian ini, Merah?’ aku bertanya. Aku terlampau teruja tentang buaian dan aku lupa tentang pertengkaran kami.
’Ibu aku yang buatkan.’ Merah masih memandang tajam mata aku.
’Cantik lah, Merah. Aku tak pernah lihat,’ kataku dan cuba memegang buaian. Merah tidak menghalang.
’Aku pun tak pernah lihat sebelum ini. Kau tahu Putih, selepas aku tanam tulang ikan itu, pokok beringin ini tumbuh dengan buaiannya sekali. Itu pasal lah aku kata ibu aku yang buat,’ terang Merah, wajahnya tidak lagi mencuka. Aku membelek-belek buaian ’ajaib’ itu. Akar kayu kejap, melilit rapi. Bunga kecil apa ini? Warna putih dan jingga. Daun-daun seperi manik.
’Naik lah.’ Pelawa Merah.
Merah membantu aku menaiki buaian kerana buaian itu agak tinggi, setinggi paras Merah. Aku naik dan Merah menolak buaian. Tetapi buaian tidak bergerak.
’Cepat lah Merah. Tolak lah kuat sikit’
Buaian tidak juga bergerak. Berkali-kali kami cuba gerakkan buaian tetapi hampa. Akhirnya kami beralah dan berjalan pulang ke rumah.
’Agaknya Putih berat sangat,’ kata Merah dan kami tertawa lemah.
Setibanya aku di rumah ibu membebel. Kami tidak jadi bertandang kerana hari sudah lewat.
----------------------------
Malam itu aku tidur dan bermimpikan Merah diarak di atas tandu di-raja. dalam mimpi itu aku melambai-lambai Merah dari atas buaian yang tidak mau bergerak itu.
-------------------------------------------
Sepanjang hari aku memikirkan hal mimpi itu. Aku melihat Merah sedang sibuk membersih laluan denai. Aku menghampiri ibu yang sedang sibuk menitik bedak sejuk di ruang tengah.Aku mencerukankan mimpi pada ibu.
’Ibu, Putih rasa Merah akan dipinang anak raja,’ kata aku pada ibu. Ibu diam membisu. Apakah itutandanya ibu juga percaya?
Tiba-tiba aku terasa sangat sayu dan pilu. Aku tidak tahu bagaimana aku akan hidup tanpa Merah. Merah pasti bencikan ibu. Dan aku barangkali. Merah akan pergi ke istana dan tinggalkan aku dan ibu. Mata aku bergenang, pedih sekali rasanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...